Kelebihan
Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Daripada Zaid bin
Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang
memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat
pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa
itu tidak berkurangan walau sedikitpun”.
(At-Tirmidzi)
Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan
Hadith :
Daripada Abu Hurairah
r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa yang lebih utama
selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu
bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang
fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan
Ramadhan)
(Muslim)
Puasa lidah
Hadith :
Daripada Abu Hurairah
r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu
berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia,
dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh
seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata,
“Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
(al-Bukhari dan
Muslim)
Orang-orang Yang Berhak Menerima Zakat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a.
katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang fakir miskin (yang sangat
menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana
ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua
suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan
pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang
sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu
yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan
kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan
penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak
diberi zakat)”
(Imam Ahmad)
Puasa Yang Berkat
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia
tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”
Riwayat Ibnu Majah
Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan
Hadith :
“Daripada Ibnu Abbas
r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat
pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika
baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada
setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda
bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang
bertiup kencang.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a
berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam)
di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda:
“Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan
mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang
telah lalu.”
Puasa Penyelamat Dari Api Neraka
Hadith :
Daripada Abu Said
al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun
daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah,
melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka
sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.”
(al-Bukhari dan
muslim)
Sunat Berbuka Dengan Kurma
Hadith :
Daripada Salman bin
Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika
seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma.
Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong.
Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”.
(Abu Daud dan
at-Tirmidzi)
Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya ada bagi Allah beberapa Malaikat yang berjalan di
merata-rata bumi untuk menyampaikan salam kepadaku dari sesiapa di
antara umatku yang memberi salam kepadaku, sekalipun jauh negeri orang
itu dan tempat tinggalnya.
Abdillah bin Masud r.a
Selawat
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat,
sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku; oleh
itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit
atau banyak."
Amir bin Rabiah r.a
Tebusan Orang Islam
Hadith :
Dari Abu Musa r.a
katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak di hari kiamat, Allah Taala
mendorong setiap Yahudi atau Nasrani ke hadapan setiap orang Islam lalu
firman-Nya:”Inilah tebusanmu dari api neraka.”
(Muslim)
Sebab Dilarang Melakukan Perbuatan Keji
Hadith :
Dari Abdullah r.a
Rasulullah s.a.w bersabda.”Tidak ada yang lebih suka dipuji selain dari
Allah S.W.T. Kerana itu Dia memuji diri-Nya sendiri. Dan tidak ada yang
lebih cemburu daripada Allah. Kerana itulah dia melarang segala yang
keji.”
(Muslim)
Solat Jenazah Di Dalam Masjid
Hadith :
Dari Abu Salamah bin
Abdur Rahman r.a katanya:”Ketika Saad bin Abi Waqqas wafat, Aisyah
berkata:”Bawalah jenazah itu ke adalam masjid supaya aku dapat
mensolatkannya . Permintaan Aisyah itu diingkari oleh banyak orang. Lalu
berkata Aisyah:”Demi Allah, Rasulullah s.a.w pernah solat jenazah dalam
masjid untuk dua orang putera Baidha’ iaitu Suhail dan saudaranya.”
(Muslim)
Solat Sambil Duduk
Hadith :
Daripada Abdullah bin
Syaqiq r.a bahawasanya dia bertanya kepada Aisyah r.a, katanya:”Adakah
nabi s.a.w solat sambil duduk?” Jawab Aisyah:”Ada! Iaitu di hari-hari
tua baginda.”
(Muslim)
Sedekah Yang Ditolak
Hadith :
Dari Ibnu ‘Umar r.a
katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat
seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada
kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi
dan sebagainya)”
(Muslim)
Dada Rasulullah S.a.w Dibelah
Hadith :
Dari Anas bin Malik
r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku dibawa orang (Jibril a.s) ke
telaga zamzam; di sana dadaku dibelah kemudian dibersihkan dengan air
zamzam, sesudah itu aku dihantarkannya kembali ke tempatku semula.”
(Muslim)
Cara Solat Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a
katanya:”Apabila rasulullah s.a.w berdiri untuk rakaat kedua baginda
terus membaca Fatihah tanpa diam terlebih dahulu sebentar.”
(Muslim)
Zakat Dan Rasulullah s.a.w
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a
katanya:”Pada suatu waktu, ketika Hasan bin Ali masih kecil, dia pernah
mengambil kurma dari tompokan kurma sedekah (zakat), lalu diletakkannya
ke mulutnya. Maka bersabda Rasulullah s.a.w,:”Jijik, jijik, buang! Tidak
tahukah kamu bahawa kita (keluarga Muhammad) tidak boleh memakan
sedekah (zakat)?”
(Muslim)
Jangan Kedekut @ Tamak!
Hadith :
Asma’ r.a menerangkan
bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (kepada Asma): “Nafkahkanlah dan
janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan
(tidak mengeluarkannya) untuk kamu.” Dan janganlah kamu menyembunyikan
sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan
kesuburannya.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Bahagianya Di Alam Syurga
Hadith :
Dari Anas bin Malik
r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Di dalam syurga terdapat sebuah
pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat. Angin bertiup
dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka, menyebabkan muka
dan pakaiannya bertambah cantik, tampan dan indah. Ketika mereka pulang
ke rumah didapatinya isteri mereka bertambah cantik dan indah. Kata
mereka kepada isterinya, “Engkau sungguh-sungguh tambah cantik dan
pakaianmu tambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya, “Engkau demi
Allah sungguh tambah tampan dan pakaianmu tambah indah pula
sekembalimu.”
(Muslim)
Menafikan Asal Keturunan Suatu Pendustaan
Hadith :
Dari Wasilah bin Aqsa’
r. a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:’Sesungguhnya termasuk dusta
yang amat besar bahawa seseorang menamakan dirinya bukan keturunan
ayahnya atau mengaku melihat apa yang tidak dilihatnya atau mengatakan
sabda Rasulullah s.a.w padahal beliau tidak bersabda begitu.”
(al-Bukhari)
Cara Memandikan Jenazah
Hadith :
Ummu Athiyah r.a
mengatakan bahawa ketika para wanita memandikan puteri Rasulullah yang
meninggal, Rasulullah bersabda kepada mereka:”Mulailah dengan bahagian
kanan dan anggota wudhu’nya.”
(al-Bukhari)
Makmum Tidak Menanggung Dosa Imam
Hadith :
Diriwayatkan daripada
Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda:”Mereka solat menjadi
imam solat bagimu. Maka jika mereka betul, dia dan kamu akan mendapat
pahala. Tetapi jika ia salah, kamu tetap mendapat pahala sedangkan
mereka berdosa.”
(al-Bukhari)
Siksa Kubur Itu Benar!
Hadith :
Dari Abu Ayyub r.a
katanya:”Rasulullah s.a.w pernah keluar rumah sebelum Maghrib, maka
terdengar oleh baginda suatu suara. Kata baginda: Itu suara Yahudi
sedang disiksa dalam kuburnya.”
(Muslim)
Fadhilat Puasa Assyura
Hadith :
Dari Abu Qatadah
al-Anshari r.a. katanya:”Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa
hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa
tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula
tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Semoga dapat
menghapuskan dosa tahun yang lalu".
(Muslim)
Sejarah Puasa Assyura
Hadith :
Dari Aisyah r.a.
katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari
asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah,
baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa
juga".
(Muslim)
Pemberian Ansar Kepada Muhajirin
Hadith :
Dari Anas bin Malik
r.a, katanya:”Waktu orang Muhajirin datang ke Madinah, mereka tidak
membawa suatu apapun sedangkan orang Ansar mempunyai tanah, kebun dan
rumah-rumah. Orang Ansar lalu membahagikan tanah itu dengan memberikan
hasil harta itu kepada orang Muhajirin setiap tahun dan mereka
(muhajirin) mencukupkan kerja dan belanja. Ibunya (ibu Anas dikenali
dengan nama Ummu Sulaim) adalah ibu Abdullah bin Abu Thalhah. Ibu Anas
memberikan pohon kurma kepada Rasulullah saw. lalu baginda berikannya
kepada Ummu Aiman, maula baginda (hamba perempuan yang telah
dimerdekakan dan diambil sebagai isteri) iaitu ibu Usamah bin Zaid. Ibnu
Syihab berkata:”Anas bin Malik menceritakan kepada saya bahawa nabi
saw. setelah selesai memerangi penduduk Khaibar, baginda kembali ke
Madinah. Waktu itu orang Muhajirin mengembalikan pemberian orang Ansar
yang buahnya dahulu telah mereka ambil. Nabi saw. mengembalikan kepada
ibu Anas pohon kurmanya dan Rasulullah saw. memberikan gantinya kepada
Ummu Aiman dari kebun beliau sendiri.”
(Bukhari)
Orang Yang Mati Syahid
Hadith :
Daripada Abi Akwar
Said bin Zaid Amru bin Nufel r.a. (beliau adalah salah seorang antara
sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga) katanya,: Aku
mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang terbunuh kerana
membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan
sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang
lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana
mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan
sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada
diceroboh, matinya juga adalah mati syahid”.
(Abu Daud dan
at-Tirmidzi)
Berkongsi pahala
Hadith :
Dari ‘Aisyah r.a
katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila seorang isteri menyedekahkan
makanan dari persediaan yang ada di rumahnya tanpa mengurangi keperluan
rumahtangganya, maka si isteri itu mendapat pahala kerana dia yang
menyedekahkannya dan si suami mendapat pahala kerana dia berusaha
(menghasilkannya) dan seorang bendahari juga mendapat pahala tanpa
berkurang sedikit pun.”
(Muslim)
Kemuliaan Mati Syahid
Hadith :
Dari Anas bin Malik
r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorangpun yang telah masuk
syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini
diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang
mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia
hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya
orang yang mati syahid.”
(Muslim)
Bohong sunat
Hadith :
Dari Ummu Kalsum binti
‘Uqbah r.a sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Bukanlah
termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik
atau dikatakannya yang baik.”
(Bukhari)
Berbuat Baik Itu Sedekah
Hadith :
Dari Abu Syaibah r.a
dari nabi s.a.w, sabdanya:”Setiap perbuatan baik (makruf) adalah
sedekah.”
(Muslim)
Dilarang Puasa Sunat Apabila Tinggal Separuh Bulan Syaaban
Hadith :
Daripada Abu Hurairah
r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tinggal separuh bulan
Syaaban janganlah kamu semua berpuasa sunat.”
(at-Tirmidzi)
Memakai Haruman
Hadith :
Dari Aisyah r.a
katanya:”Aku pernah memakaikan haruman ke baju ihram Rasulullah s.a.w
tatkala baginda hendak berihram dan sesudah tahallul sebelum tawaf di
Baitullah.”
(Muslim)
Kelebihan bersedekah
Hadith :
Dari Amru bin Auf r.a
katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam
itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan
Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur
dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Bukhari)
Elakkan Berkata”kalau”
Hadith :
Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada
mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah
terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau,
pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu
musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan
begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu
merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya,
sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.”
Riwayat Muslim
Keguguran Dan Cara Mengurus
Hadith :
Sabda Rasulullah
s.a.w:”Anak yang mati keguguran disolatkan dan didoakan bagi kedua orang
tuanya agar memperolehi keampunan dan rahmat.”
Riwayat Abu daud dan at-Tirmidzi
Kelebihan Bersedekah Di Bulan Puasa
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada
bulan Ramadhan.”
Riwayat at- Tirmidzi
Lestarikan Kemerdekaan Dengan Perpaduan
Hadith :
Dari Amir bin Saad
dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari
daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah
baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat
bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali.
Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon
kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak
satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku
dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya
umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir
besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun
yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga.
Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama
mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “
(Bukhari)
Galakan Berpuasa Sunat
Hadith :
Dari Aisyah r.a :”
Bersabda Rasulullah s.a.w kepadaku pada suatu hari:”Wahai Aisyah! Adakah
di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )?” Aisyah berkata:” Wahai
Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan)” Baginda bersabda
“(Jika begitu) maka aku berpuasa”
(Muslim)
Di Mana Imam Berdiri Dalam Solat Jenazah?
Hadith :
Samurah Ibnu Jundub
r.a berkata : “Saya bersolat di belakang nabi SAW untuk jenazah seorang
perempuan yang meninggal kerana nifasnya. Maka nabi berdiri bertentangan
pinggang jenazah tersebut.”
(al-Bukhari dan Muslim
)
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda: "Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati,
hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya
Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."
Ummi Salamah r.a
Air Mazi Tidak Mewajibkan Mandi Hadas Besar
Hadith :
Daripada Ali bin Abi
Talib r.a berkata : “Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi,
lalu aku menyuruh al-Miqdad ibn al-Aswad bertanya kepada nabi SAW, lalu
ia pun bertanya, maka baginda menerangkan : “Padanya, air sembahyang.”
(al-Bukhari 4 : 34.
Muslim 3 : 4)
Setiap Penyakit Ada Penawarnya
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah
bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan
ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi
jangan berubat dengan benda-benda yang haram.”
(Abu Daud)
Jalan Yang Menyampaikan Kepada Ma'rifat
Hadith :
Dari Nabi s.a.w,
sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala apa jua (yang diciptakan Allah),
tetapi janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah….."
Ibn Abbas r.a
Kerasulan Nabi Muhammad S.a.w
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda: " Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya! Tidak ada
seseorang pun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani yang
mendengar akan perihalku ( menjadi utusan Allah ) kemudian ia mati
sedang ia tidak beriman dengan ( agama Islam ) yang aku diutuskan
membawanya melainkan menjadilah ia dari ahli neraka."
Abu Hurairah r.a
Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan
peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan
keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu
jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini
akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Darah seketul
ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? - Ya Tuhanku! Daging
segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila
Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi:
"Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang
bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan
rezekinya dan ajalnya?" (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia
menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut
ibunya."
Anas r.a
Beriman Kepada Malaikat
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang menyeksa haiwan dengan mengerat, mengoyak, mencabut atau
mengelar mana-mana anggotanya, maka ditimpakan atasnya laknat Allah dan
Malaikat serta manusia semuanya."
Ibn Umar r.a
Perihal Syaitan
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda dalam khutbahnya: "Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku telah
memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu
mengetahuinya dari perkara-perkara yang diajarkannya kepadaku pada hari
ini, iaitu (Tuhanku berfirman): "Segala harta benda yang Aku berikan
seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan: Adalah
Halal; dan sesungguhnya Aku telah jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih
(dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan
semula jadinya; dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh
syaitan-syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng
dan terpesong dari ajaran agamanya yang sebenar…."
'Iyadh bin Himar
Al-Mujasyi'I r.a
Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari Aisyah r.a
katanya: "Aku melihat Nabi s.a.w semasa Baginda hampir wafat dan
disisinya sebuah bijana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke
dalam bijana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya
Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut
atau Sakratul maut (yang sedang aku hadapi)".
Aisyah r.a
Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda: "Apabila si mati dikuburkan….., datanglah kepadanya dua
Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya
disebut dengan nama "Munkar" dan yang satulagi disebut dengan nama
"Nakir", (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan
rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:"Apa yang pernah
engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (dan pada satu
riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau
pernah sembah?" Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia
akan menjawab dengan berkata: "Aku menyembah Allah!" Kemudian ia
ditanya lagi: "Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini
(Muhammad s.a.w)?" (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga:
Mereka menyoalnya dengan berkata: "Siapa Tuhanmu?" Ia menjawab:
"Tuhanku ialah Allah!" Mereka bertanya lagi: "Apa agama mu?" Ia
menjawab: "Agamaku ialah Islam!" Mereka bertanya lagi: "Siapa dia orang
yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?" Maka kalau si mati seorang
yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: "Orang itu (Muhammad
s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini
bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan
bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!"
Mereka berkata kepadanya: "Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui
yang demikian"; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda
s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sungguh
benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga,
dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah
pintu ke Syurga". "Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang
kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian
dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan
cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya:
"Tidurlah!" Lalu ia berkata: "Bolehkah aku balik kepada keluargaku
supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?" Dua Malaikat itu berkata
kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan
dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya
sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu. Jika si mati
itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan
katanya: "Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata
sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak". Lalu dua Malaikat itu
berkata: "Memang kami tahu engkau berkata demikian"; (dan menurut satu
riwayat oleh Abu Daud: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya:
"Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu
hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah
baginya sebuah pintu ke Neraka". Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu
datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya)
kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya
sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam
azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya."
Abu Hurairah r.a
Allah Mengampuni Dosa Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda yang maksudnya:“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan
kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah
lalu.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari Anas r.a katanya:
"Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang
berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana
Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah -
Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa
ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak
berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada
saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan
dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."
Anas r.a
Ciri-ciri Orang Munafik
Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w
yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya
maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu
daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat
munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila
dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia
mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan
benang basah ) “.
Riwayat Ahmad
Menghormati Orang Yang Sedang Sakit
Hadith :
Dari Ibn Abbas r.a
katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah:
Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang
sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika
sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa
mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua
tinggalkan daku!".
Ibn Abbas r.a
Memuliakan Rasulullah Dan Keluarga Baginda
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat
dan mertua serta menantu-menantu; dan (ingatlah) akan datang suatu puak
yang mencaci dan membenci mereka, maka janganlah kamu bersekedudukan
dengan mereka, dan janganlah kamu semakan seminum dengan mereka,dan
jangan juga kamu bersemenda dengan mereka."
Anas r.a
Masa Hari Kiamat Dan Huru-haranya
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda:
"Manusia berpeluh pada hari kiamat dengan banyaknya sehingga air peluh
mereka meresap ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta, dan menenggelami
mereka sehingga sampai ke telinga masing-masing".
Abi Hurairah r.a
Perhimpunan Di Padang Mahsyar Sehingga Masing-masing Menerima
Balasan
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda:
"Tuhan akan himpunkan semua manusia pada hari kiamat di atas satu bumi
yang putih kemerah-merahan seperti sebiji roti gandum putih yang baharu
dibakar, bumi yang suci bersih, tidak ada padanya gunung-ganang atau
bukit bukau dan tidak pula ada padanya sebarang tanda atau kesan yang
menunjukkan bahawa bumi itu pernah diduduki atau dimiliki orang".
Sahl bin Sa'id
As-Sa'idiy r.a
Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Hadith :
Dari Aisyah r.a
katanya: "Aku tidak memandang elok atau merasa iri hati kepada sesiapa
pun dengan sebab mudah dan ringannya Sakratul maut yang dialaminya,
sesudah aku melihat kesukaran Rasulullah s.a.w menghadapi Sakratul
maut."
Aisyah r.a
Hampirnya Saat-saat Kiamat
Hadith :
Nabi s.a.w sabdanya:
"Tidak berlaku saat kiamat melainkan semasa tidak ada di dunia ini
selain daripada orang-orang jahat (yang tidak mengenal baik dan buruk)."
Ibn Mas'ud r.a
Tanda-tanda Kiamat
Hadith :
Nabi s.a.w sabdanya:
"Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang tidak tentu saka
bakanya, yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal, menjadi
sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia."
Huzaifah r.a
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Dari Ummi Salamah
katanya: Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata
Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda
bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan
diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar yang demikian)
sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut
kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w bersabda:
"Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang
merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana
Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau
buruk", kemudian Baginda s.a.w berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku!
Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama
orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai
gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan,
dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah
kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."
Ummi Salamah
Adab Dan Tatatertib Melawat Orang Sakit
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda: "Cara melawat orang sakit yang lebih afdal pahalanya ialah
segera meninggalkan sakit itu."
Jabir r.a
Separuh Pahala
Hadith :
Abu Hurairah r.a
berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Apabila seorang wanita
menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin suaminya
maka bagi suaminya separuh pahala.”
(al-Bukhari dan
Muslim)
Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Hadith :
Rasulullah s.a.w
bersabda: "Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari
tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang
terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat-tempat yang
lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak terselamat dari yang
tersebut, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi.
'Uthman bin 'Affan r.a
Bawang Putih Dan Bau Mulut
Hadith :
Abu Ayyub r.a
meriwayatkan katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila baginda didatangkan
makanan maka baginda memakan sebahagiannya dan yang lebihnya dikirim
kepada ku. Pada suatu hari baginda mengirimkan kepada ku makanan yang
lebih yang tidak pun dimakan sebahagiannya kerana padanya ada bawang
putih. Saya bertanya kepada beliau: “Apakah ia haram? Baginda bersabda:
“Tidak. Tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya. Abu Ayyub berkata:
“Sesungguhnya saya tidak menyukai apa yang anda tidak menyukainya.”
(HR Muslim)
Pahalanya Tetap Ada
Hadith :
Abu Hurairah r.a
menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “ Seorang
lelaki berkata : “Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar
membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada
paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “
Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata : “Wahai
Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya
akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya
lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai
pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan
sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata : “Wahai Tuhan ku,
hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan
memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu
diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai
memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah
kepada orang kaya. Orang itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk
Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan
terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya
lalu berkata kepadanya : “Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia
akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita
penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan
orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu menafkahkan
sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.”
(al-Bukhari dan
Muslim)